KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu diminta segera menyelesaikan proses baik pulih kediaman penduduk yang terjejas akibat ribut di Besut.

Ahli Dewan Undangan Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, bencana ribut pada Sabtu telah menyebabkan kira-kira 50 buah rumah di mukim Kuala Besut mengalami kerosakan pada struktur kediaman.

Menurut Tengku Zaihan, susulan insiden itu, mangsa yang terlibat terpaksa berpindah sementara waktu ke balai raya atau menumpang di rumah ahli keluarga yang lain.

"Saya mohon sekali lagi supaya pihak kerajaan khususnya pihak jabatan-jabatan yang berkenaan — JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Pejabat Daerah dan sebagainya — untuk menyegerakan baik pulih rumah yang mana terlibat dengan kerosakan malam tadi (Sabtu).

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan juga pihak JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan juga pihak jabatan-jabatan, majlis daerah dan sebagainya yang bertindak segera memotong pokok yang tumbang di tengah jalan di depan Sekolah Kebangsaan Kuala Besut di Kampung Tengah dan di beberapa lokasi lagi," kata Tengku Zaihan.

Keadaan kediaman penduduk yang terjejas akibat ribut di Besut. - Astro AWANI

Kira-kira 130 buah rumah membabitkan 140 keluarga di daerah Besut mengalami kerosakan akibat dibadai ribut pada Sabtu.

Bencana itu melibatkan Kampung Batu 13, Kampung Bekok di Hulu Besut dan 10 kampung di Kuala Besut.