MALAYSIA
Kerajaan Terengganu tanggung subsidi air pengguna domestik RM24 juta setahun

Zulkifli berkata langkah itu diharap dapat mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat dan syarikat operator iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menanggung subsidi air sebanyak 30 peratus bagi pengguna domestik band kedua (21 hingga 35 meter padu) dan 15 peratus bagi pengguna domestik band ketiga (melebihi 35 meter padu) berkuat kuasa November ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali berkata pemberian subsidi itu akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM24 juta setahun.
Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, setelah mengambil kira isu bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
"Setelah dibuat kajian serta pertimbangan daripada segala aspek, pengguna domestik bagi kategori band kedua berjumlah 78,807 akaun hanya perlu membayar 70 peratus daripada jumlah bil penggunaan."... manakala pengguna domestik kategori band ketiga berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85 peratus daripada jumlah bil penggunaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata langkah itu diharap dapat mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat dan syarikat operator iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).
"Semoga langkah kerajaan negeri dapat membantu mengurangkan bebanan para pengguna domestik, dan pada masa sama memastikan komitmen bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami