awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
New York isytihar darurat berikutan ribut kuat musim sejuk
Rusia serang pelabuhan Laut Hitam Ukraine, dua kapal dagang turut jadi sasaran
Bangladesh kenang Khaleda Zia sebagai pejuang bersemangat waja, pelindung negara
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Kerajaan terima permohonan peruntukan RM900 bilion bagi RMKe-12 - Mustapa

Bernama
Bernama
05/04/2021
14:35 MYT
Kerajaan terima permohonan peruntukan RM900 bilion bagi RMKe-12 - Mustapa
Mustapa berkata bagi 2021 sahaja, sejumlah RM69 bilion telah diperuntukkan, dengan sebahagian besar dana itu disalurkan kepada sektor penjagaan kesihatan, termasuk untuk program vaksinasi COVID-19. - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerima permohonan peruntukan melibatkan sejumlah RM900 bilion bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) daripada jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata bagi 2021 sahaja, sejumlah RM69 bilion telah diperuntukkan, dengan sebahagian besar dana itu disalurkan kepada sektor penjagaan kesihatan, termasuk untuk program vaksinasi COVID-19.
"Memandangkan semua permohonan datang dari setiap sudut, jadi kita perlu meneliti semua permohonan itu secara berhati-hati kerana keutamaan perlu diberikan kepada sektor penjagaan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai 'Membangunkan Malaysia dan Membantu Dunia: Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC)' di sini, pada Isnin.
JSC merupakan kerjasama antara Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) dan Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Ketika ditanya mengenai cabaran pelaburan langsung asing (FDI), Mustapa berkata semua pihak perlu adil dan saksama dalam membuat sebarang penilaian terhadap mana-mana sektor, termasuk ekonomi.
"Adil di sini bermaksud mendapatkan angka yang tepat. Walaupun kita, sebagai pihak kerajaan, mengakui wujudnya cabaran namun terdapat juga aspek atau situasi positif, dan kita mencatatkan prestasi baik dalam beberapa bidang.
"Menilai dengan teliti apa yang berlaku dalam Sunway Group, jumlah pengunjung ke pusat beli-belah, hotel, taman tema, universiti, hospital dan lain-lain...kita yakin, kita akan mencapai sasaran pertumbuhan 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini," katanya.
Menyentuh isu tersebut, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata syarikat itu akan mengumumkan pelaburan besar daripada kerajaan asing dalam tempoh terdekat.
"Saya tidak dapat mengumumkan secara terperinci sehingga kami memaklumkannya kepada Bursa Malaysia namun, ia adalah pelaburan besar oleh dana kerajaan luar negara," katanya.
Cheah berkata situasi keseluruhan bagi perniagaan syarikat dan perniagaan tempatan kini jauh lebih baik berbanding pada 2020 ketika COVID-19 mula melanda negara.
"Kami dapat bertahan, dengan permintaan yang tertangguh, program vaksinasi melibatkan lebih ramai orang dan penyusutan kes positif, saya berpandangan keyakinan pengguna akan wujud semula. Kami melihat setiap hujung minggu, jumlah pengunjung di pusat beli-belah semakin meningkat dan ia lebih baik berbanding ketika prapandemik," katanya.
Beliau berkata walaupun sekatan rentas sempadan dilaksanakan, cabang pendidikan Sunway juga mencapai prestasi baik, didorong pembelajaran secara dalam talian.
"Jumlah pelajar asing kami meningkat 12 peratus pada suku pertama tahun ini. Kami yakin keadaan akan kembali lebih positif apabila sempadan negara kembali dibuka," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#ekonomi
#pelaburan
#COVID-19
#program vaksinasi
#RMKe-12
#Mustapa Mohamed
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan