KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memanfaatkan pelarian berdaftar bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi tertentu, tertakluk kepada proses pendataan dan tapisan keselamatan yang ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu antara perkara yang boleh dipertimbangkan selepas kerajaan memperoleh data lengkap mengenai pelarian yang berada di negara ini.
Beliau berkata, data berkenaan penting bagi mengenal pasti pelarian yang masih dalam usia produktif, sekali gus membolehkan kerajaan menilai potensi mereka berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja negara.
Menurutnya, Malaysia mempunyai keperluan pekerja asing dalam lima sektor ekonomi utama, iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian, pembinaan dan perladangan.
“Kalaulah kita boleh kumpulkan data 225,000 orang ini, kemudian kita pisahkan mereka yang masih dalam umur produktif dan telah melalui tapisan, kita ada data untuk membuat keputusan.
“Keperluan tenaga kerja tidak semestinya kita ambil dari luar. Kita boleh semak dengan data pendaftaran pelarian sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata, had pengambilan pekerja asing ditetapkan pada 10 peratus daripada jumlah guna tenaga negara, dengan keperluan tenaga kerja bagi lima sektor berkenaan perlu diuruskan berdasarkan dasar kerajaan.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kemungkinan berkenaan masih merupakan satu pilihan yang boleh dipertimbangkan dan bukannya keputusan muktamad kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan proses pendataan pelarian bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berbanding angka sedia ada yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"UNHCR menganggarkan kira-kira 225,000 individu berstatus pelarian berada di Malaysia, namun kerajaan memerlukan maklumat seperti nama, umur, lokasi dan jantina, selain menjalankan tapisan polis, imigresen serta pengumpulan data biometrik.
"Proses itu penting bagi membolehkan kerajaan merangka dasar awam yang lebih bersesuaian, selain menangani isu pelarian secara lebih menyeluruh," katanya lagi.
Saifuddin Nasution turut menjelaskan bahawa kerajaan menetapkan tiga kemungkinan bagi pelarian yang berada di Malaysia, iaitu penempatan semula ke negara ketiga seperti Australia, New Zealand dan Kanada, penghantaran pulang secara sukarela, atau kekal berada di Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara.
Bagi pelarian yang ditempatkan di depot imigresen, kerajaan menyasarkan kira-kira 4,000 individu menjalani proses pendataan dan tapisan, manakala penghantaran pulang turut dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan mengenai salah laku atau pelanggaran undang-undang kepada pihak berkuasa, khususnya polis, dan tidak mengambil tindakan sendiri.
Mengulas isu penghantaran pulang warga Myanmar, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan kepimpinan Myanmar menerusi mekanisme ASEAN.
"Kerajaan Myanmar bersetuju menerima penghantaran pulang warganya secara sukarela serta bekerjasama dalam proses tapisan bagi mengenal pasti warga negara itu yang berada di Malaysia.
"Pendekatan diplomatik dan kerjasama antara pihak berkuasa kedua-dua negara penting bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan sekian lama," ujarnya lagi.