Sebanyak RM250 juta bakal diperuntukkan untuk melaksanakan projek kerja-kerja pendalaman kuala Sungai Besut yang dijangka dapat memberi kemudahan kepada nelayan dan pelancong untuk melalui sungai tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah bersetuju dengan cadangan yang telah lama dikemukan oleh pentadbiran Terengganu.

“Projek ini sebenarnya pernah dilakukan namun ianya dilaksanakan secara ‘adhoc’ yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 hingga RM20 juta dan ianya tidak mampu untuk kekal kerana memerlukan perlaksanaan yang dibuat secara jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pecah Tanah Pembinaan SMK Alor Peroi disini petang tadi.

Menurutnya, pihak Unit Penyelarasan, Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) akan menyediakan peruntukkan sebanyak RM500,000 untuk melantik perunding yg akan membuat kajian untuk membina projek itu dan ianya sudah pun mendapat kelulusan dari menteri yang bertanggungjawab.

“Kajian itu adalah untuk melihat aliran arus sungai dan kedalaman sungai. Selepas kajian dibuat barulah akan dikemukakan pelan projek itu untuk pembinaan di Kuala Sungai Besut,” katanya.

Kajian itu akan dibuat selama enam bulan sebelum keputusan kajian itu dibentangkan dan dijangka awal tahun hadapan kerja-kerja pendalaman akan dapat dimulakan.

Dalam masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin menafikan dakwaan pembangkang bahawa segala projek pembangunan yang dirancang sebagai strategi membeli undi kerana akan adanya pilihan raya kecil disitu.

“Ini merupakan tanggungjawab kerajaan baik kerajaan pusat atau kerajaan negeri untuk dipikul. Ini bukanlah dirancang kerana adanya PRK disini dan projek-projek yang diumumkan sebelum ini memang sudah lama dirancang cuma dan hanya ketika sekarang dapat dijalankan kerana kita mencari sumber kewangan,” kata beliau.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan SMK Alor Peroi disini.

Sekolah yang yang bernilai RM28 juta ini mempunyai 30 bilik darjah termasuk makmal komputer dan makmal sains dan dijangka akan memulakan kerja-kerja pembinaan pada bulan Ogos ini.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Pendidikan II yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan calon BN PRK DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.