Skip to main content

Malaysia

Kerana ihsan melangkaui batas bangsa dan agama, dunia Din kembali terang

https://lifestyle.bernama.com/news.php?id=2592530
Jeyenderan (kanan) akan meluangkan sedikit masa membantu Mohd Din (kiri), ada kalanya untuk melintas jalan atau menghulurkan sedikit wang bagi keperluan harian lelaki itu, selain turut membantu membayar sewa biliknya - Foto Bernama
Advertisement

KETIKA Malaysia sedang bersedia menyambut Hari Kebangsaan ke-69, memperingati tarikh kemerdekaan negara daripada penjajahan, istilah “merdeka” membawa maksud yang bersifat lebih peribadi buat Mohd Din Deli, iaitu “kebebasannya” daripada sebuah dunia yang gelap dan membolehkannya “merdeka” daripada bergantung pada orang lain.

Dan lebih penting lagi, kemerdekaan itu membolehkan lelaki berusia 65 tahun ini menjalani kehidupan dengan bermaruah. 

Selama empat tahun, dunianya diselubungi kegelapan apabila penglihatannya merosot akibat masalah katarak yang serius; memaksanya berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan, sekali gus kehilangan pendapatan. 

Keadaan itu mengakibatkan anak jati Negeri Sembilan ini terpaksa bergantung pada ihsan orang ramai untuk meneruskan hidup di ibu negara.  

“Selepas hilang penglihatan, tongkat menjadi ‘mata’ saya. Tanpa penglihatan saya tak dapat bekerja, dan bagi meneruskan kehidupan saya terpaksa meminta sedekah. Saya sewa bilik hotel murah dengan kadar RM30 sehari dekat Puduraya.

“Bagi menampung hidup, saya akan keluar seawal 5.30 pagi setiap jari dan habiskan hari saya dengan meminta ihsan daripada orang ramai sampai petang. Ada yang beri saya makanan, ada yang beri duit. Namun ada hari satu sen pun saya tak dapat,” imbasnya kepada Bernama. 

Air matanya bergenang. Nasib Mohd Din mula berubah apabila takdir menemukan dia dengan seorang ahli perniagaan yang kerap melintasi lokasi dia meminta sedekah berhampiran Kuil Sri Ganesar Court Hill, yang turut dikenali sebagai Kuil Kortumalai Pillaiyar di sini.

Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy akan meluangkan sedikit masa membantu Mohd Din, ada kalanya untuk melintas jalan atau menghulurkan sedikit wang bagi keperluan harian lelaki itu, selain turut membantu membayar sewa biliknya.

“Saya cuma kenal beliau melalui suara kerana saya kan buta. Kemudian barulah saya tahu beliau pemilik sebuah syarikat perkapalan. Pertolongan beliau nampak kecil di mata orang lain tapi amat besar maknanya bagi saya,” kata Mohd Din.

Tidak sanggup untuk terus hidup bergantung pada ihsan oran lain, dia menjalani pemeriksaan mata dengan harapan masih berpeluang melihat kembali. Namun, harapannya musnah apabila diberitahu kos pembedahan bagi membuang katarak itu ialah sebanyak RM1,800 - satu jumlah yang di luar kemampuannya.   

“Saya rasa benar-benar tak berdaya dan menyangka akan menghabiskan sisa hidup dalam kegelapan. Apabila saya ceritakan keadaan saya kepada Jeyenderan, beliau segera mengatur pemeriksaan perubatan dan pada 4 Ogos lalu, saya akhirnya dapat buka mata dan menyaksikan dunia yang saya sangkakan akan terus gelap sampai bila-bila,” ujarnya. 

Sementara itu, pakar perunding oftalmologi, Dr Manjit Singh daripada Pusat Pakar Mata Manjit Singh di sini mengesahkan penglihatan Mohd Din sememangnya merosot teruk, namun masih boleh dipulihkan menerusi pembedahan katarak.

“Semasa dia datang menjalani pemeriksaan dengan kami, kataraknya di tahap 100 peratus, dan pada 4 Ogos lalu dia menjalani pembedahan di kedua-dua belah mata. Kini dia kembali dapat melihat seperti biasa,” jelas pakar itu.

Menurut Mohd Din, pertolongan Jeyenderan tidak terhenti setakat itu. Ahli perniagaan dermawan tersebut turut menawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan di syarikanya kepada Mohd Din, sekali gus memberi peluang kepada warga emas berkenaan membina semula kehidupannya. 

“Saya sangat terharu dengan kebaikan yang ditunjukkannya dan saya akan sentiasa berterima kasih atas ihsan serta keikhlasan beliau membantu saya ketika saya berada di titik paling gelap dalam hidup.

“Selama empat tahun saya cuma mampu dengar orang bercerita tentang kemeriahan sambutan hari kebangsaan. Tahun ini saya akan berpeluang menyaksikan sendiri letusan bunga api, dan bagi saya itulah erti ‘merdeka’ yang sebenar,” katanya dalam nada gembira.

Sementara itu, Jeyenderan berkata beliau membuat keputusan untuk membantu Mohd Din selepas melihat kepayahan lelaki berkenaan dalam mengharungi kehidupan sehari-hari. 

“Cerita Mohd Din yang dia terpaksa bergantung pada orang lain, memimpinnya untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat amat menyentuh hati saya. Hari ini Tuhan beri dia peluang untuk kembali berdikari, ke masjid dan dapat bersembahyang dengan penuh kesyukuran. Syukur pada Yang Maha Kuasa kerana kembalikan penglihatan dia,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement