PARIT BUNTAR: Kes pembunuhan kejam ibu kandung yang mayatnya ditemukan dikerat kepada 15 bahagian di Taman Kerian dekat sini pada Sabtu lalu masih meninggalkan kesan kepada penduduk setempat.

Rata-rata mereka yang ditemui mendiami kawasan kejiranan berkenaan mengakui berasa terkejut dan trauma dengan insiden berkenaan.

Menurut jiran yang enggan dikenali, tiada yang aneh jika ingin digambarkan kepada tingkah laku suspek sebaliknya lelaki berkenaan kelihatan seperti individu normal.

Katanya, walaupun berperwatakan serius namun tidak pernah kelihatan insiden pertengkaran atau kekasaran berlaku antara dua beranak berkenaan.

“Lelaki itu biasanya akan keluar pada waktu pagi untuk pergi mencari barangan lusuh bagi dikumpul dan dijual. Ada kala pulang sampai lewat malam.

“Tidak ada kedengaran pergaduhan atau berlaku pertengkaran serius antara mereka sebelum ini. Pertengkaran kecil mungkin disebabkan perselisihan faham anak beranak itu kadang-kadang ada.

“Jadi, apabila ada kejadian seperti itu berlaku, saya sangat takut. Sampai rasa macam tak percaya ia berlaku di sini,” katanya ketika ditemui di Taman Kerian, dekat sini pada Isnin.

BACA: Luka tetak, potong punca kematian warga emas - Polis

BACA: Anak tidak dapat rawatan masalah mental susulan - Polis

Jiran  tidak menyedari insiden berkenaan sehinggalah pihak polis datang melakukan siasatan di rumah suspek. - Foto Astro AWANI

Selain itu, kata jiran itu lagi, dia tidak menyedari insiden berkenaan sehinggalah pihak polis datang melakukan siasatan di rumah suspek.

Menurutnya dia tidak mendengar sebarang bunyi sama ada ketukan, potongan mahupun jeritan sepanjang tempoh beberapa minggu sebelum kelibat wanita warga emas itu tidak kelihatan beberapa hari sebelumnya.

“Pada kebiasaan, emak lelaki itu sering dilihat menyapu di persekitaran rumah. Akan tetapi sebelum saya dimaklumkan oleh pihak polis tentang insiden itu, saya sudah tidak nampak kelibat wanita itu pada beberapa hari.

“Saya sangkakan yang warga emas itu mengikut anak perempuannya tinggal ke Pulau Pinang. Namun tidak sangka lain pula yang berlaku,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk setempat yang juga enggan dikenali menganggap kejadian pembunuhan kejam itu pertama kali berlaku di situ.

“Sebelum ini jika kes bunuh, mati seorang diri, atau dibakar itu memang ada dengar berlaku di kawasan ataupun daerah ini.

“Tetapi untuk insiden dibunuh sampai mayatnya dipotong kepada beberapa bahagian, saya rasa ini adalah pertama kali berlaku,” jelasnya.

Tinjauan ke rumah suspek mendapati pita keselamatan polis telah dipasang di sekeliling rumah sementara pintu bahagian belakang yang dipercayai menempatkan tangki kumbahan telah ditutup. - Foto Astro AWANI



Sementara itu, tinjauan ke rumah suspek mendapati pita keselamatan polis telah dipasang di sekeliling rumah sementara pintu bahagian belakang yang dipercayai menempatkan tangki kumbahan telah ditutup.

Selain itu hampir di setiap sudut pekarangan rumah juga kelihatan dipenuhi dengan pelbagai barangan lusuh dan terpakai yang dipercayai dikumpul suspek.

Pada masa sama, tidak kelihatan kelibat anggota keluarga mangsa berada di persekitaran rumah mahupun kawasan kejiranan berkenan.

Sabtu lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menahan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri berusia 68 tahun dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, di sini.

Katanya, polis menerima laporan mengenai penemuan cebisan daging dipercayai anggota badan manusia kira-kira jam 3.30 petang pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.