PUTRAJAYA: Kereta api enjin stim dengan hiasan dalaman koc penumpang berkonsep tradisional akan mula beroperasi pada Januari tahun depan, kata Ketua Pegawai Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Mohamed Suhaimi Yaacob.

Beliau berkata inisiatif Tourism Heritage Steam Locomotive Train, yang merupakan kerjasama antara KTMB dan Great Leisure Sdn Bhd itu bertujuan menarik minat pelancong tempatan dan luar negara untuk menikmati keindahan alam di sepanjang laluan kereta api.

"Ia bakal menjanjikan pengalaman unik kepada penumpang untuk menikmati keindahan lokasi tarikan pelancongan yang menarik di sepanjang laluan kereta api, khususnya di laluan hutan iaitu dari Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Tumpat, Kelantan," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Kereta Api antara KTMB dan Great Leisure bagi kerjasama itu di sini semalam, beliau berkata Kuala Lumpur dan Butterworth akan menjadi destinasi permulaan bagi perkhidmatan kereta api enjin stim itu sebelum meliputi destinasi lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Great Leisure Datuk Dzulfadly Abdullah berkata hiasan dalaman koc penumpang itu menggunakan sepenuhnya hasil kerja tangan ukiran anak tempatan yang ketika ini telah siap kira-kira 70 peratus.

"Kerusi penumpang pula akan dipasang dengan rekaan yang diinspirasikan oleh syarikat tempatan mengikut konsep seniman P. Ramlee dan seniwati Saloma," katanya.

Dzulfadly berkata penumpang bukan sahaja dapat menggunakan perkhidmatan itu sebagai mod pengangkutan ke destinasi pelancongan, malah boleh menjadikan kereta api berkenaan sebagai lokasi bagi mengadakan sebarang majlis termasuk majlis perkahwinan.

"Kita ada 'open deck' yang memang dikhaskan untuk majlis istimewa penumpang," katanya.

Beliau berkata pihaknya ketika ini masih belum menetapkan harga bagi pakej penganjuran majlis namun menjanjikan ia pada kadar istimewa.

-- BERNAMA