KUALA LUMPUR: Seorang pesara tentera cedera ringan selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan 34/26 Wangsa Maju di sini pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu berlaku ketika kereta jenis Nissan Latio dipandu mangsa berusia 84 tahun dari arah Jelatek menghala ke Sri Rampai.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki warga emas terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar dua buah kenderaan jenis Toyota Corolla Cross dan Proton Saga yang diparkir di bahu kiri jalan sehingga menyebabkan keretanya terbalik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Zamzuri berkata, lelaki itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.
"Pemandu Toyota Corolla Cross iaitu lelaki warga Arab berusia 36 tahun yang berada dalam kenderaan ketika kejadian serta pemilik Proton Saga berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan dialami pemandu Nissan Latio yang mengalami sakit di bahagian pundi kencing sehingga hilang kawalan terhadap kenderaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. - Sinar Harian