GEORGE TOWN: Seorang jurujual terselamat selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang arah Perai, pagi Khamis.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.05 pagi, sewaktu lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari Air Itam, George Town menghala ke Butterworth atas urusan kerja.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya dibawa keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam.

Soffian berkata hasil siasatan pihaknya mendapati lelaki itu memandu bersendirian dan sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas.

Kereta itu kemudian melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan sehingga menyebabkan kenderaan tersebut terbalik.

"Lelaki itu mendakwa sebuah kenderaan lain secara tiba-tiba telah memasuki laluannya menyebabkan pemanduannya hilang kawalan," katanya ketika dihubungi.

Soffian berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di atas jambatan tersebut pagi tadi.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dan aliran trafik kembali normal selepas kenderaan itu dialihkan.

Untuk rekod, ini adalah insiden kali kedua membabitkan kereta jenis Perodua terbabas dan terbalik di atas jambatan berkenaan.

Pada 11 April lepas, seorang wanita dilaporkan cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandunya terbalik di Kilometer 4.6 Jambatan Pulau Pinang arah Perai, Butterworth.

Kejadian pukul 6.15 petang itu dipercayai berlaku apabila MPV itu terbabas sebelum terbalik.