DUNGUN: Operasi pembersihan pasca banjir di daerah Dungun yang paling teruk terkesan menerusi banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu Selasa lalu dijangka selesai pada Jumaat ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja pembersihan itu telah dilaksanakan bermula Ahad  dengan memfokuskan kampung paling teruk terjejas membabitkan Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing dan Kampung Jongok Batu.

Katanya, lebih 500 sukarelawan termasuk Khidmat Malaysia Terengganu telah membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta rumah penduduk yang terjejas.

"Saya rasa lebih daripada 50 peratus sudah, lebih-lebih lagi kerana tuan rumah juga ambil kesempatan cuci sendiri.

"Selut ini banyak sangat, hampir satu kaki, jadi ia ambil masa sikit," katanya.

Beliau berkata sukarelawan berkenaan akan terus melaksanakan kerja pembersihan itu setiap hari meskipun dalam skala yang kecil.

Jelasnya sejurus kesemua selesai, sebahagian mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) akan kembali ke kediaman masing-masing.


Terdahulu banjir gelombang keempat yang kembali melanda Terengganu pada Selasa lalu menyaksikan lebih 2,000 mangsa telah terjejas.

Setakat ini lebih 400 mangsa dari Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor masih berteduh di PPS.