Kejayaan proses repatriasi rakyat Malaysia dari Turki adalah hasil kerjasama baik Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turki bersama persatuan-persatuan pelajar serta agensi pelancongan.

Duta Besar Malaysia ke Turki, Sazali Mustafa Kamal berkata diaspora Malaysia di Turki turut memainkan peranan penting dalam turut sama membantu menjayakan misi tersebut.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif Malaysia's Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) cetusan idea Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah banyak membantu rakyat Malaysia di republik itu mendepani pandemik COVID-19.

"Cabaran ini termasuk mendapat kebenaran daripada Kerajaan Turki bagi penerbangan khas itu mendarat. Ia termasuk pergerakan pegawai-pegawai kedutaan dari Ankara ke Istanbul bagi melaksanakan dan menyelaraskan pergerakan logistik rakyat Malaysia untuk berkumpul di Istanbul bagi aktiviti repatriasi.

"Alhamdulillah, pada 16 April penerbangan tersebut mendarat dengan selamat dan 354 rakyat Malaysia yang telah berkumpul di lapangan terbang di Istanbul berjaya kami hantar pulang dengan selamatnya," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Kejayaan proses repatriasi rakyat Malaysia dari Turki adalah hasil kerjasama baik Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turki bersama persatuan-persatuan pelajar serta agensi pelancongan. - Foto Kedutaan Besar Malaysia di Turki


Berkongsi saat kemuncak kes COVID-19 di negara itu, Sazali berkata selain pelajar terdapat juga rakyat Malaysia yang sedang melancong di negara itu.

"Turki merupakan satu destinasi pelancongan yang amat popular untuk rakyat Malaysia. Sebelum COVID-19 ini berleluasa, Turki menerima lebih kurang 125,000 orang rakyat Malaysia di negara itu.

"Ini menunjukkan kerjasama rapat perlu antara Kedutaan Besar, rakyat Malaysia, agensi pelancongan dan juga agensi-agensi Kerajaan lain yang berada di Turki bagi menjamin keselamatan dan juga memberi perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia yang sewajarnya secara efektif," jelasnya.

Justeru, beliau turut menasihati untuk mereka yang akan melancong ke luar negara kelak untuk mendaftar dengan kedutaan bagi memudahkan sebarang urusan sekiranya berlaku krisis atau kecemasan.