CANBERRA: Kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International (RTI), mampu memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara, khususnya dalam pembangunan teknologi dan pembuatan aset pertahanan berteknologi tinggi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia berpotensi memberi nilai tambah kepada pembangunan industri pertahanan negara.
Ujarnya, kerjasama itu akan membuka ruang kepada Malaysia membangunkan keupayaan pengeluaran produk pertahanan tempatan melalui Weststar, di samping membolehkan syarikat berkenaan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global industri pertahanan.
“Ini selari dengan keadaan keselamatan pertahanan yang kita hadapi, konflik sebagainya yang mana kalau kita nak mengamalkan peperangan asymmetrical, keupayaan kita bersandarkan kepada kebolehan kita.
“Jadi apa yang dilakukan oleh Westar ini selari dengan pendekatan yang sedang diambil oleh negara dari sudut pertahanan dan atas sebab itulah Kementerian Pertahanan sangat mengalukan, menyokong dan berterima kasih kepada kedua-dua syarikat.
“Ini adalah inisiatif peribadi dan kami berterima kasih kepada RTI kerana (sudi) berkerjasama. Ini bukan sesuatu yang mudah kerana tidak banyak negara yang ingin berkongsi teknologi, terutamanya dalam sektor aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dengan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) di Pusat Konvensyen Nasional Canberra, pada Rabu.
Selain itu, kejayaan kerjasama itu didorong oleh dasar kerajaan Australia, termasuk Australian National Defence Strategy 2026 serta Integrated Investment Program yang memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan pertahanan bersama negara-negara sahabat.
Menurutnya, pendekatan tersebut bertujuan membantu negara sahabat membangunkan Sovereign Defence Capability, iaitu keupayaan mempertahankan kedaulatan negara melalui pembangunan industri pertahanan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada negara lain.
Jelas beliau, dengan peningkatan keupayaan kedaulatan pertahanan negara, Malaysia juga mampu untuk membantu memperkuatkan tahap pertahanan di rantau Asia Tenggara.
“Malaysia dan Australia memang merupakan negara sahabat, kita mempunyai hubungan pertahanan yang sangat kuat.
“Dan atas sebab itulah saya percaya apa yang dilakukan pada hari ini mendapat kelulusan daripada kerajaan Australia. Jadi atas sebab itulah itu sangat penting.
“Dan apabila kita mempunyai keupayaan kedaulatan pertahanan dengan sendirinya, kita juga (Malaysia)akan membantu untuk memperkuatkan lagi ketahanan dalam rantau kita,” katanya lagi.
Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik itu turut dihadiri Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datin Paduka Sharrina Abdullah dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.