Skip to main content

Malaysia

Kertas Kabinet dibentang bantu PMKS kembang operasi di taman perindustrian - Ewon

[TB]_Program Jelajah Halal Malaysia Ewon Benedick_FB Ewon Benedick
Ewon berucap pada Program Jelajah Halal Malaysia Sabah 2026 hari ini. - Gambar Facebook Ewon Benedick Official Media
Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah akan membentang kertas kabinet negeri berkaitan dasar sokongan kepada syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah untuk mengembangkan operasi di taman perindustrian negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata kertas yang bakal dibentang dalam masa terdekat itu merangkumi sokongan melibatkan pembiayaan serta penyewaan tanah, dan dasar tersebut mampu meringankan beban kewangan PMKS tempatan untuk bersaing secara lebih inklusif dalam pasaran semasa.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata sokongan ini juga penting untuk membolehkan syarikat PMKS tempatan menggunakan infrastruktur logistik yang disediakan di kawasan terbabit terutama pelabuhan bagi menjadikan operasi mereka lebih berkesan.

Kebanyakan taman perindustrian di Sabah terletak berdekatan dengan persisiran pantai, justeru ini memudahkan syarikat berkenaan mengunakan kemudahan pelabuhan untuk mengeksport produk mereka.

“Sudah tentu dengan keadaan geografi di Sabah ini ada cabarannya tersendiri dan jurangnya. Kalau produk itu dikeluarkan di kawasan pedalaman mahu dibawa ke pelabuhan, itu pun satu kos. Sebab itu kita bangunkan taman perindustrian yang kebanyakannya di kawasan persisiran pantai.

“Kita minta syarikat pertimbangkan untuk membina premis mereka di taman perindustrian yang dekat dengan ekosistem logistik. Segala perinciannya akan dilaporkan sebaik diputuskan semasa mesyuarat kabinet kelak," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jelajah Halal Malaysia Sabah 2026 di sini hari ini.

Sabah mempunyai tiga taman perindustrian utama iaitu Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu; selain sedang merancang taman perindustrian baharu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort.

Sementara itu, Ewon berkata kerajaan negeri kini sedang giat menangani masalah jurang infrastruktur logistik pelabuhan menerusi pelaksanaan projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar serta pengoperasian dua dermana kren baharu di Pelabuhan Tawau.

Beliau berkata tindakan tersebut diambil memandangkan saiz pelabuhan sedia ada di negeri ini masih mengekalkan kapasiti sama seperti 20 hingga 30 tahun lepas, yang dilihat tidak dapat memenuhi keperluan semasa.

“Keadaan berkenaan mewujudkan jurang logistik, sedangkan sektor ekonomi dan pengeluaran perindustrian di Sabah sedang berkembang pesat. Langkah proaktif ini penting bagi memperkasakan rantaian bekalan dan merancakkan lagi sektor eksport tempatan,” katanya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, 22 Julai lepas, Ewon dilaporkan berkata projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar kini mencapai kemajuan 62.75 peratus setakat Jun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2027.

Sementara itu, Program Jelajah Halal Malaysia Sabah 2026 selama dua hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC), dan turut dihadiri Pengerusi HDC Prof Dr Mohd Afandi Salleh serta Penolong Pengurus Besar HDC Mohammad Romzi Sulaiman.

Lebih 500 peserta terdiri daripada usahawan PMKS, pemain industri, agensi kerajaan, institusi kewangan, sektor pendidikan serta orang awam menyertai program berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement