LANGKAWI: Kertas siasatan kejadian kanak-kanak enam tahun memandu kereta milik bapanya sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km) sebelum terlibat kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Selasa telah lengkap.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar sebaik pihak polis menerima laporan perubatan daripada hospital.

"Keterangan daripada ibu bapa dan kanak-kanak lelaki itu telah diambil. Lima individu lain yang merupakan saksi kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

"Mereka terdiri daripada tiga saksi di tempat kejadian, datuk kanak-kanak itu dan seorang lagi anggota polis yang tiba di tempat kejadian.

"Kanak-kanak tersebut juga akan dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (Child Interview Centre-CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk mendapatkan keterangan menyeluruh," katanya.

Shariman terdahulu meninjau kembali tempat kejadian bersama wakil Astro AWANI pada Sabtu.

Jelasnya, hasil siasatan, kanak-kanak itu turut mendakwa tahu cara membawa kereta selepas melayari video di YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya.

Shariman berkata, siasatan turut mendapati tiada simulator digunakan untuk berlatih memandu di rumah kanak-kanak itu.

Sementara itu beliau turut menasihati ibu bapa agar meletakkan kunci kenderaan di tempat selamat.