KLANG: Kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing bernama Rocky yang rakaman videonya tular di media sosial sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Selasa untuk arahan lanjut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.
"Kita sudah serah kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya semalam (Selasa), untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan dijalankan susulan kejadian kira-kira jam 10.50 malam 29 Julai lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Kejadian itu berlaku ketika operasi gotong-royong menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan bantuan penduduk setempat.
Anjing berkenaan kemudian disahkan mati dan dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor bagi tujuan bedah siasat.
Sebelum ini, seorang individu menerusi media sosial mendakwa dia dan ibunya menyaksikan anjing peliharaan mereka, dikenali sebagai Rocky, mati selepas dipercayai dipukul ketika operasi berkenaan.
Menurut individu itu, Rocky dipelihara sejak kecil dan dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.
Namun dakwanya, pada malam kejadian, Rocky diikat dengan tali pada bahagian leher sebelum ditarik dengan kuat sehingga tercekik, selain dipukul di kepala menggunakan sebatang besi.