Kertas siasatan berhubung pesta sukan bogel di Teluk Kampi telah lengkap dan dirujuk ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, ACP Mazlan Kesah berkata, kertas siasatan itu membabitkan sembilan individu yang telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung pesta bogel tersebut.

Ujarnya, mereka yang diambil keterangan terdiri daripada lapan warga tempatan dan seorang warga Singapura yang telah ditahan untuk siasatan bermula 13 Ogos lalu sehingga Isnin.

Sehingga kini, polis telah menerima 11 laporan berhubung kejadian tersebut dan meneruskan siasatan bagi mengesan baki enam peserta yang masih gagal menyerah diri.

"Kita sudah ambil kenyataan daripada 29 orang termasuk ranger , pekerja dan saksi bebas selain kertas telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Kita masih mencari enam orang lagi rakyat negara ini dan selebihnya rakyat asing. Kertas yang lengkap akan dihantar untuk tindakan lanjut," katanya

Dalam pada itu katanya, kesemua suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh tahanan reman ke atas mereka tamat pada Selasa.

Polis sebelum ini mengenal pasti kesemua 15 peserta terbabit yang terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat dari Singapura, dua Myanmar dan masing-masing seorang dari India dan Filipina.

Pesta sukan bogel itu mula diperkatakan apabila video selama lima minit 52 saat bertajuk 'Pesta bogel di Teluk Bahang, Pulau Pinang' tersebar secara meluas di laman sosial yang memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan, menari serta mengadakan acara sukaneka dalam keadaan bogel di pantai berkenaan.