IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan memberikan penjelasan berhubung isu kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery pada persidangan Dewan Negara, esok.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mengemukakan fakta dan penjelasan yang lengkap tentang isu itu nanti.
“Saya akan jawab soalan di Dewan Negara esok … ini syarikat kewangan pemegang pencen, pemegang dana pencen. Ada panel pelaburan, ada lembaga. Dia tak lapor kepada kita. Tetapi, saya tak mahu beri alasan, biar kita beri faktanya esok di Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program MADANI KITA Bersama Komuniti Tambun anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata satu pasukan telah ditubuhkan pada Jumaat bagi mengkaji dan meneliti isu kerugian pelaburan sebanyak RM200 juta itu secara menyeluruh.
Khamis lepas, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan berkenaan susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery, sebuah syarikat teknologi akuakultur Indonesia.
KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta dalam eFishery pada Julai 2023.
Tahun lepas, pengasas bersama eFishery Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Sementara itu, KWAP dalam kenyataan semalam memaklumkan jumlah keseluruhan pelaburan dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat tersebut.
KWAP ialah pemegang saham minoriti, manakala majoriti saham syarikat itu dipegang oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan.
Menurut KWAP, tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabilitinya.
-- BERNAMA