KUALA LUMPUR: Kes bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan masih dalam siasatan polis, sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis telah menahan Loo Ai Swan pada 7 Julai, bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Loo merupakan bekas Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB, dipercayai merupakan individu mempunyai maklumat berkenaan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang dan Jasmine Loo, berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya sejak enam bulan lepas, Ayob Khan berkata tangkapan dibuat berdasarkan kronologi kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu, baru-baru ini.

"Apabila kita lihat kronologi kes Sanusi ini, dia buat kenyataan berat sebelah pada 12 Julai dan ada laporan polis dibuat, manakala pada 14 Julai pula Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan tangkapan dibuat ke atasnya pada 18 Julai," katanya.

Sehubungan itu, Ayob Khan meminta rakyat Malaysia terutamanya ahli politik, menghayati Rukun Negara khususnya dalam konteks institusi diraja, kerana tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang.

"...maka apabila kami mengambil tindakan janganlah buat cerita lain," katanya.

Mengenai siasatan berkaitan isu 3R (agama, bangsa, raja) membabitkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata kertas siasatan telah dihantar kepada Peguam Negara 17 Julai lepas.

"Kami sedang menunggu arahan lanjut sekarang, polis hanya jalankan siasatan dan masih tunggu keputusan mereka," katanya.

Bukit Aman sebelum ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Lim, yang didakwa menyentuh isu 3R dengan mendakwa 'gelombang hijau' bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang, dan Abdul Hadi susulan satu hantaran di akaun Facebook yang mengulas mengenai parti DAP.

-- BERNAMA