PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kelewatan pembekalan baja kepada petani di Kedah telah selesai sepenuhnya, dengan dua individu dijangka didakwa dalam tempoh terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Peguam Negara untuk mendapatkan keizinan sebelum pertuduhan difailkan di mahkamah.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan dijangka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan penyelewengan dan penggunaan dokumen palsu.
“Penyiasatan bagi pengedaran baja kepada petani-petani di Kedah sudahpun selesai.
“Kes ini akan dirujuk kepada Peguam Negara dan sekiranya diberikan keizinan, kemungkinan pertuduhan akan berlangsung minggu depan atau minggu satu lagi.
“Kita akan daftar pertuduhan itu di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 di sini, hari ini.
Mengulas sama ada terdapat kenamaan termasuk ‘orang kerajaan’ yang akan didakwa dalam kes berkenaan, Abd Halim berkata, perkara itu belum boleh didedahkan pada masa ini.
Pada 12 September lalu, seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja yang dikaitkan dengan isu kelewatan pengagihan input pertanian di Kedah ditahan SPRM.
Dalam perkembangan sama, Abd Halim sebelum ini mengesahkan pihaknya telah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamed Sabu serta Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu, Datuk Isham Ishak bagi membantu siasatan.
Keterangan kedua-duanya direkodkan masing-masing pada 15 dan 16 September lalu.