KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Ogos untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menangguhkan pembayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan 43 utas barang kemas.
Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Rosmah, M. Reza Rahim, dan peguam Global Royalty R. Venothani, yang hadir menerusi Zoom.
"Saya cenderung untuk menangguhkan keputusan dalam perkara ini. Mungkin kita boleh menetapkan satu lagi tarikh dalam tempoh kira-kira seminggu," kata Marianne sebelum menetapkan 12 Ogos untuk menyampaikan keputusan.
Pada 10 Jun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty dalam tempoh sebulan selepas memutuskan beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 utas barang kemas yang didakwa berada dalam simpanannya.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Rosmah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 12 Jun lepas serta memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu rayuan diputuskan.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau secara palsu menyatakan bahawa 44 utas barang kemas, termasuk rantai berlian, gelang tangan dan tiara yang dihantar kepadanya menerusi ejen syarikat itu, disita oleh pihak berkuasa Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 utas barang kemas berkenaan berada dalam simpanan polis, manakala baki 43 utas lagi tidak pernah berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Global Royalty turut mendakwa Rosmah cuba mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada Kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas berkenaan sebenarnya telah hilang.
Terdahulu, Reza berhujah bahawa wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu rayuan diputuskan, selain tiada keperluan untuk jumlah penghakiman itu dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah.
Beliau berkata Global Royalty merupakan entiti asing berpangkalan di Lubnan, yang tidak tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Penguatkuasaan Penghakiman Bersaling 1958 (REJA).
"Defendan berhujah bahawa berdasarkan keputusan terkini Mahkamah Rayuan dalam kes Golden Plus (supra), sekiranya pemohon dapat membuktikan penerima pembayaran ialah entiti asing yang tidak mempunyai kehadiran atau aset di Malaysia serta tidak tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Penguatkuasaan Penghakiman Bersaling 1958 (REJA), maka keadaan itu merupakan satu keadaan khas. Itu bukan lagi menjadi isu," katanya.
Peguam itu berkata anak guamnya bimbang beliau tidak akan dapat mendapatkan semula wang berkenaan daripada Global Royalty sekiranya rayuannya berjaya.
"Plaintif menjalankan perniagaannya di Beirut, Lubnan, dan tiada cara bagi kami untuk menyemak kekuatan kewangannya (bagi tujuan kemungkinan pembayaran balik)," katanya.
Reza turut berhujah bahawa anak guamnya hanya mempunyai satu akaun bank yang mengandungi kira-kira RM100,000, manakala semua asetnya yang lain telah dibekukan menerusi perintah injunksi dalam saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2024.
Sementara itu, Venothani berhujah bahawa defendan gagal membuktikan wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut.
Beliau berkata tiada sebarang bukti dikemukakan di mahkamah bahawa syarikat itu menghadapi masalah kewangan, tidak berupaya membayar semula jumlah penghakiman sekiranya rayuan berjaya, atau berkemungkinan melupuskan wang penghakiman tersebut.
"Tiada bukti yang menunjukkan plaintif tidak mampu atau enggan memulangkan wang itu sekiranya perlu. Malah, defendan juga gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa plaintif tidak mampu atau enggan membayar balik jumlah penghakiman berkenaan," katanya.
-- BERNAMA