Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah menunjukkan penurunan hasil Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Kementerian Pendidikan dengan agensi-agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata sejumlah 2,795 kes melibatkan pelbagai jenis buli direkodkan pada 2017, berbanding 3,448 kes pada 2016.

Bagaimanapun, katanya usaha proaktif akan dipergiat dalam usaha mewujudkan sifar buli di sekolah.

"Dalam masa yang singkat, kita telah berjaya kurangkan angka ini. Namun, kami di KPM belum boleh bergembira lagi, kita tidak mendabik dada mengatakan yang kita berjaya, tidak.

"Kita dalam proses memperolehi kejayaan dan kejayaan ini hanya boleh berlaku dengan kerjasama semua pihak dan kita percaya kita akan berjaya laksanakan sifar buli dengan kerjasama semua pihak," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanya usaha yang diambil kerajaan dalam mewujudkan sifar buli di sekolah.

Tambah Kamalanathan, NBOS yang dilakukan KPM melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia kerana skop kawalan KPM hanya melibatkan kawasan di dalam sekolah.