MALAYSIA
Kes bunuh pelajar di Cyberjaya: Tiga suspek direman seminggu

Tiga remaja termasuk dua perempuan yang ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar di Cyberjaya Selasa lalu, direman selama tujuh hari, bermula hari ini. - Gambar Astro AWANI
SEPANG: Tiga remaja termasuk dua perempuan yang ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar di Cyberjaya Selasa lalu, direman selama tujuh hari, bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Azaraorni Abdul rahman di Mahkamah Sepang, pada Jumaat.
Sebelum itu, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 20 tahun yang ditahan di sekitar Johor Bahru, Johor serta Gemencheh, Negeri Sembilan pada 26 dan 27 Jun antara jam 9 pagi hingga 2 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, operasi melibatkan pasukan dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.“Kesemua tangkapan dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima. Kesemua suspek juga mengenali mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta mengelakkan tindakan melanggar undang-undang.
Sebelum ini, mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati oleh rakannya sekitar jam 10 pagi Selasa lalu dalam unit kediamannya di Cyberjaya.
Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.
Mangsa dijadualkan untuk menghadapi peperiksaan hari dia ditemui mati.
Selain itu beberapa barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang disyaki dilarikan suspek.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami