MALAYSIA
Kes bunuh penuntut: Suspek utama, rakan serumah tiba di Mahkamah Majistret Sepang

Suspek utama dipercayai akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala teman wanitanya mengikut Seksyen 109/302 kanun sama kerana bersubahat membunuh. - Foto Astro AWANI/Izwan Noordin
SEPANG: Dua individu disyaki terbabit dalam kes pembunuhan penuntut universiti swasta Maniishapriet Kaur di Cyberjaya pada 24 Jun lalu tiba di Mahkamah Majistret Sepang, di sini, hari ini.
Suspek utama dan teman wanitanya itu, kedua-duanya berusia 20-an, tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.54 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda secara berasingan.
Ahli keluarga mangsa dan suspek dilihat turut berada di mahkamah bagi mengikuti prosiding.
Suspek wanita merupakan rakan serumah kepada mangsa. Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek utama akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala teman wanitanya mengikut Seksyen 109/302 kanun sama kerana bersubahat membunuh.
Pada 24 Jun lalu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berusia 20 tahun dari Sarawak itu ditemui mati di unit kediaman kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi.
Susulan itu, tiga individu termasuk suspek utama ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima pada 24 Jun.
Mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan masing-masing pada 25 dan 26 Jun, manakala seorang lagi keesokan harinya.
Bagaimanapun, dua suspek dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai tinggal bersendirian selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun.
Mendiang dijadualkan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat sebelum insiden itu berlaku.
Polis sebelum ini juga mengesahkan laporan patologi mendapati tiada sebarang kesan rogol.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami