GOMBAK: Polis memohon bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengkaji beberapa maklumat dan bahan bukti yang diperoleh dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bantuan itu melibatkan maklumat yang telah diperoleh oleh pasukan siasatan yang memerlukan siasatan lanjut daripada pangkalan data Interpol.

"Kita ada meminta bantuan daripada Interpol berkaitan pangkalan data mereka, kami mempunyai beberapa maklumat walaupun tidak menyeluruh.

"Kita perlu maklumat lanjut dari pangkalan data berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Sabtu.

[TERKINI] Pembunuhan Zayn Rayyan: Polis mohon bantuan Interpol kaji maklumat

Hussein berkata, setakat ini pihaknya telah merakam percakapan 225 individu terdiri daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Kita juga mengambil sebanyak 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya.

Menurut Hussein, pihaknya tidak akan berputus asa dalam menyiasat kes berkenaan walaupun mempunyai bahan bukti yang terhad.

"Seperti semua tahu lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan adalah 'secondary crime scene' dan berikutan itu kita mempunyai bukti fizikal serta keterangan yang terhad. Kita masih lagi sedang mengesan 'primary crime scene'," katanya.

Beliau berkata, proses siasatan kes berkenaan telah memasuki fasa ketiga di mana pasukan forensik kini memberi tumpuan kepada unit tertentu di blok tertentu apartmen berkenaan.

"Sepanjang siasatan pihaknya turut menahan seramai 12 individu, bagaimanapun ia tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

"Siasatan masih dijalankan setiap hari di kawasan berkenaan, kita akan teruskan siasatan hingga pelakunya ditahan. Mungkin bukan sekarang, tetapi kami yakin pelaku ini akan ditahan," katanya.

Pada 6 Disember lalu, mangsa berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan apartmen itu kira-kira jam 10 malam.

Zayn Rayyan dipercayai dibunuh itu ditemui oleh pihak berkuasa dan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya. - Sinar Harian