Kes chikungunya di Pulau Pinang merekodkan peningkatan mendadak dalam tempoh seminggu dengan 55 kes dicatatkan bagi tempoh 7 hingga 13 Jun lepas, berbanding 157 kes bagi tempoh Januari hingga 6 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata bagaimanapun tiada kematian akibat penyakit itu dilaporkan di Pulau Pinang setakat ini.

Menurutnya pada masa ini terdapat 15 lokaliti wabak di daerah Timur Laut dengan tiga lokaliti wabak tidak terkawal di Flat Padang Tembak, Lorong Sempadan dan Taman Air Itam.

"Wabak terkawal pula di lokaliti Kampung Pisang, Kampung Jalan Perak, Desa Baiduri, Jalan Lahat, Jalan Khoo Hye Keat, Kondominium Kiara Indah, Sri Impian, Jalan Goh Guan Ho, Desa Permata, Taman Terubong Jaya, Tingkat Lembah Ria dan Greenlane Park," katanya kepada Bernama pada Rabu.

-- BERNAMA