Sesi persekolahan akan tetap diteruskan seperti biasa mengikut perancangan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), demikian kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, setakat ini kerajaan masih belum mengadakan sebarang perbincangan membenarkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan sahaja meneruskan sesi persekolahan.

Beliau berkata demikian bagi memberi respon berikutan kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

"Setakat ini tiada keputusan baharu daripada Kementerian Pendidikan. Jadi, setakat ini kita masih lagi dengan keputusan yang lama dengan membenarkan pelajar-pelajar ke sekolah seperti yang dirancang.

"Walau bagaimanapun, saya percaya bukan sahaja sekolah tetapi juga di mana sektor pun jika ada peningkatan kes, maka kita akan putuskan selepas itu," katanya dalam sidang media, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, sesi persekolahan dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam sahaja termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Md Jidin kemudian mengumumkan semua sekolah di seluruh negara akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai.