KOTA BHARU: Tindakan segelintir pihak menganjurkan majlis perkahwinan tanpa memohon permit daripada polis, antara punca peningkatan semula kes COVID-19 di Kelantan, kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Malah, beliau berkata kebanyakan mereka mengadakan majlis berkenaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk tetamu yang menghadiri majlis kenduri kahwin itu.

"Kecuaian dan kelalaian pihak berkenaan menyebabkan kes COVID-19 di Kelantan meningkat termasuk peningkatan kluster. Peningkatan kes ini berlaku beberapa hari selepas kes di negeri ini menurun.

"Mungkin rakyat mengambil kesempatan penurunan kes sebelum ini dengan bersikap sambil lewa dalam pematuhan SOP," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah.

Menurut Dr Izani, terdapat juga kes COVID-10 di sekolah berpunca daripada guru yang dijangkiti selepas menghadiri majlis kahwin dan seterusnya guru terbabit mengjangkiti orang lain pula.

Sementara itu, Abdullah berkata pihak polis meningkatkan penguatkuasaan dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan di negeri itu dan mengenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM10,000 terhadap mereka yang gagal memohon permit dan mematuhi SOP.

"Banyak kenduri diadakan tanpa permit dan mulai hari ini, polis akan memperketat SOP di negeri ini dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan sama ada penganjur memohon permit atau sebaliknya,” katanya.

-- BERNAMA