PUTRAJAYA: Tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini terhadap pertuduhan yang dikurangkan iaitu menculik kanak-kanak berumur lima tahun dengan niat mengurungnya secara salah hampir tujuh tahun lepas.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah memberitahu panel tiga hakim bahawa pihak pendakwaan menerima representasi lisan ketiga-tiga tertuduh bagi meminda pertuduhan mereka.

Panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan kemudiannya mensabitkan Siow Kek Keong, Riduanshah Yahya dan Mohd Saifulamry Jarkasi dengan kesalahan, dan menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

Siow, 52, serta seorang warga Indonesia Riduanshah, 40, dan seorang pemandu lori Mohd Saifulamry Jarkasi, 35, pada mulanya dituduh mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 sebelum pertuduhan dipinda kepada menculik dengan niat mengurung kanak-kanak itu secara salah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Hukuman maksimum bagi kesalahan menculik adalah mati atau penjara seumur hidup jika disabit dengan kesalahan, manakala hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan adalah penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika di sabit kesalahan.

Pada Nov 2019 Mahkamah TInggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tiga sebatan terhadap ketiga-tiga lelaki itu selepas mereka didapati bersalah kerana menculik anak seorang kontraktor bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000 di tepi jalan di Jalan Seroja dekat Taman Setia, Sungai Chua, Kajang pada 9 Okt 2015 pukul 9.26 pagi.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, Belinda Low Siet Wan, S.S.Seelan yang masing-masing mewakili Siow, Riduanshah dan Mohd Saifulamry, dalam rayuan supaya tempoh hukuman yang munasabah dikenakan bermula dari tarikh mereka ditahan pada Okt 2015 berkata, anak guam mereka sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Geethan Ram berkata mangsa tidak cedera, dan hampir semua wang tebusan telah ditemukan semula.

Di luar mahkamah, Geethan Ram memberitahu media bahawa anak guamnya akan dibebaskan daripada penjara hari ini selepas mengambil kira satu pertiga pengurangan hukuman penjara.

Menurut fakta kes pendakwaan, kanak-kanak itu diculik semasa ibunya menghantarnya di sebuah tadika, dan kanak-kanak itu dikembalikan kepada keluarganya selepas bapa kanak-kanak itu membayar wang tebusan.

-- BERNAMA