Kes demam denggi di Selangor menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh awal tahun ini dari 1 Jan hingga 13 Mei, apabila mencatatkan 18,534 kes berbanding 25,104 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata sepanjang tempoh itu kes-kes kematian akibat demam denggi turut berkurangan dengan 29 kes berbanding 41 kes pada 2016.

"Penurunan kes denggi ini dilihat susulan pelbagai usaha kerajaan Selangor untuk menangani wabak ini termasuk menubuhkan jawatankuasa tindakan kawal denggi, operasi terjah dan musnah denggi.

"Turut diadakan penguatkuasaan dan perundangan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Selangor di sini, pada Selasa.

Menurut Dr Daroyah, dalam tempoh yang sama (1 Jan hingga 13 Mei tahun ini), daerah Petaling mencatatkan jumlah kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 5,958 kes diikuti Hulu Langat (4,927), Klang (3,395) dan Gombak iaitu 2,057 kes.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.66 juta pada tahun ini bagi melaksanakan program Pest Control Operator (PCO) bertujuan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di beberapa lokasi yang dikenal pasti termasuk di daerah Shah Alam dan Petaling Jaya.

"Peruntukan ini akan kita agihkan kepada kesemua 12 PBT (pihak berkuasa tempatan) di Selangor mengikut jumlah yang diperlukan oleh setiap PBT. Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada setiap PBT untuk melaksanakan program pencegahan denggi di kawasan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA