KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,336 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-26 (ME26) iaitu bagi tempoh 25 Jun hingga 1 Julai lepas, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata ini sekali gus menunjukkan penurunan 246 kes atau 9.5 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 2,582 kes.

Katanya satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME26 tahun ini.

"Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME26 adalah sebanyak 59,057 kes berbanding 24,743 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 34,314 (138.7 peratus).

"Sejumlah 40 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh yang sama pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai lokaliti 'hotspot' pada ME26, Dr Muhammad Radzi berkata ia menunjukkan penurunan dengan 121 lokaliti dilaporkan berbanding 130 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Menurutnya daripada 121 lokaliti 'hotspot' itu, 90 lokaliti berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (21), Kedah (enam), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu lokaliti di Perlis serta Pahang.

Beliau berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME26 menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan adalah 137 kes setakat ini.

"Mengenai survelan zika, sebanyak 1,503 sampel darah dan 83 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan kesemuanya adalah negatif," katanya.

Sempena Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 tahun 2023 yang dirasmikan pada 9 Julai lepas, Dr Muhammad Radzi berharap masyarakat bekerjasama dalam aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes terutamanya di lokaliti wabak denggi atau kawasan berisiko tinggi.

-- BERNAMA