GEORGE TOWN: Trend dan statistik jenayah terutama melibatkan juvana di Pulau Pinang agak membimbangkan dengan 1,251 orang ditahan sejak Julai 2021 hingga November tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka yang ditahan berusia 10 hingga 19 tahun dan 86 peratus atau 1,078 adalah lelaki manakala selebihnya perempuan.

"Berdasarkan statistik jenayah indeks kontinjen Pulau Pinang, kejadian jenayah rogol yang dilaporkan dari Julai 2021 hingga November lepas adalah 96 kes dengan tangkapan melibatkan juvana adalah 77 orang, ini menunjukkan jenayah rogol dalam kalangan remaja bawah umur adalah membimbangkan.

"Apa membimbangkan kita kebanyakan kes rogol itu dilakukan oleh suspek yang mengenali mangsa. Ini secara tidak langsung memberi gambaran faktor seks bebas ini terlalu berleluasa dalam kalangan mereka di bawah umur pada masa ini,'' katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menjadi ahli panel Program 'Town Hall Discussion' peringkat kontinjen Pulau Pinang di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM), di sini yang membincangkan Remaja dan Jenayah: Isu dan Cabaran.

Turut menjadi ahli panel program berkenaan ialah pakar motivasi Mohamed Hanafiah Malek, Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM, Prof Madya Abdul Rashid Mohamad dan Datuk Dr P. Sudramoothy selaku moderator program.

Mohd Shuhaily berkata, demografi mereka yang terlibat dengan jenayah rogol itu terdiri daripada remaja dalam golongan B40.

''Apa yang kita bimbangkan ialah bagaimana dengan nasib mangsa, stigma masyarakat dan apa jalan penyelesaian kepada isu ini. Kita bimbang apabila remaja terlibat menjadikan hal ini satu perkara biasa bagi mereka dan lama-lama bangga dengan jumlah lelaki yang mereka kenali pula,'' katanya.

Sementara itu, beliau berkata, faktor seperti persekitaran berunsur negatif, institusi kekeluargaan retak, isu sosial ekonomi, taraf pendidikan dan kurang penghayatan agama secara tidak langsung menyebabkan remaja kini terjebak dengan kesalahan juvana tidak terkawal.

Menurutnya, umur golongan remaja ialah berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa dan peralihan daripada zaman kanak-kanak menimbulkan sikap ingin mencuba, selain alami perubahan lain termasuk fizikal, jasmani, sosial dan emosi.

"Sebab itu mereka perlu dibantu agar tidak hanyut dan gagal mengurus kehidupan dengan baik, hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan tonggak dalam menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA