KUANTAN: Polis Pahang merekodkan lebih RM31 juta kerugian melibatkan pelbagai kes jenayah komersial dalam tempoh tujuh bulan bermula Januari lepas, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata sebanyak 6,338 laporan polis telah diterima dalam tempoh berkenaan dengan 1,203 kertas siasatan telah dibuka dan sebanyak 588 pertuduhan telah dibuat.

"Meskipun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, kes-kes komersial masih berlaku dan di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila jumlah kerugian yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas sekitar RM25 juta berbanding tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Wan Rosli Wan Othman.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes penipuan antaranya seperti Macau Scam dan Love Scam merupakan antara laporan yang sering diterima dengan mangsa terdiri daripada golongan wanita, profesional dan pesara.

Sementara itu, Ramli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak menjadi 'keldai akaun' dengan menyerah, menjual atau menyewakan akaun bank masing-masing.

Katanya seramai 154 individu termasuk 47 wanita ditahan menerusi Op Mule Khas yang dilaksanakan sepanjang bulan lepas.

Individu yang ditahan menurut beliau terdiri daripada pekerja swasta, peniaga dan penganggur berumur lingkungan 20-an hingga 60-an dengan siasatan mendapati mereka yang menyewakan akaun menerima bayaran yang dianggarkan RM600 hingga RM1,000.

"Mereka yang memberi, meminjam dan menjual akaun kepada pihak ketiga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang, justeru jangan bagi akaun kepada orang lain sewenang-wenangnya," kata Ramli.

-- BERNAMA