Kes berkaitan isu kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights akan dikendalikan di bawah selian Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, lapor Bernama.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata memandangkan keseriusan dan sensitiviti isu berkenaan, Ketua Bahagian Pendakwaan akan memaklumkan kepada beliau dari semasa ke semasa perkembangan kes berkenaan.

“Saya telah mengarahkan supaya fail berhubung insiden ini dikendalikan di peringkat ibu pejabat di bawah seliaan Ketua Bahagian Pendakwaan, yang akan memaklumkan perkembangan perkara ini kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya.

Jabatan Peguam Negara mengambil maklum bahawa pertikaian yang berlaku timbul susulan suatu keputusan mahkamah dalam prosiding sivil.

“Pihak saya dengan berbesar hati sedia bertemu dengan peguam yang mewakili pihak–pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut selaras dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Peguam Negara berhubung charitable trusts di bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan, 1956,” jelasnya.

Sehubungan itu pihaknya bersedia untuk bertemu dengan semua peguam yang mewakili pihak berkaitan untuk menyelesaikan pertikaian mereka di pejabat peguam negara.

Ia berkenaan dengan ‘charitable trusts’ di bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Menurut Tommy, jabatannya juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua yang terlibat dalam rusuhan, tanpa apa-apa pengecualian.