KUANTAN: Polis Pahang akan memperhebat pemantauan di jalan raya susulan peningkatan kes kemalangan di negeri ini, kata Ketua Polis Negeri Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Mengikut statistik sebanyak 11,951 kes kemalangan dilaporkan bermula Januari tahun ini sehingga semalam, berbanding 7,759 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas, termasuk 213 kes maut direkodkan berbanding 156 kes tahun lepas.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan berhemah bagi menggelakkan kecuaian semasa memandu yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

"Kadang-kadang orang lain sudah berhati-hati, tetapi terdapat individu lain memandu secara melulu menyebabkan masalah, ada yang memandu seolah-olah macam tiada orang atas jalan dan tindakan ini sekali gus meletakkan risiko kepada orang lain," katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Pada istiadat berkenaan seramai 261 penerima terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah yang masih berkhidmat selain pesara dan petugas polis era darurat menerima pingat bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Mengulas mengenai kegiatan 'mat rempit' di negeri ini, Ramli berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi perlumbaan dan akan mempergiat langkah pencegahan bagi keselamatan orang ramai.

"Kita tidak mahu aktiviti sebegini mengakibatkan tragedi yang menyebabkan negara kehilangan remaja malah seharusnya (remaja) mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku di tempat lain," katanya.

-- BERNAMA