Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kes KLVC: Dua bekas pengurusan kanan FELDA didakwa minggu depan - SPRM

KP SPRM PICC
Abd bercakap pada sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 di Putrajaya hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Dua bekas pengurusan tertinggi FELDA yang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) bakal berdepan pertuduhan di mahkamah minggu depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kedua-dua individu berkenaan masing-masing merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Committee dan bekas Pengurus Besar FELDA.

Menurutnya, bekas Pengurus Besar FELDA itu akan menghadapi satu pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.

“Bekas Pengurus Besar FELDA itu akan menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 420 dan pertuduhan itu akan didaftarkan di mahkamah pada 30 September ini.

“Manakala bekas CEO Felda Investment Committee pula akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 417, dengan pertuduhan itu akan berlangsung pada 29 September,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 di sini, hari ini.

Abd Halim berkata, pertuduhan terhadap kedua-dua bekas pegawai kanan itu berkait siasatan SPRM terhadap projek pembangunan KLVC.

Minggu lalu, SPRM mengesahkan pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap dua bekas pengurusan kanan FELDA berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek berkenaan.

Siasatan kes itu dijalankan susulan dakwaan wujud salah laku berkaitan projek KLVC yang membabitkan FELDA.

Must Watch Video

Advertisement