Peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah telah dilantik oleh Peguam Negara sebagai pendakwa untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat.

Muhammad Shafee memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa beliau telah dilantik untuk bertindak sebagai pendakwa dalam rayuan, secara "fiat" mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Selepas prosiding berakhir, Muhammad Shafee memberitahu pemberita surat pelantikannya ditandatangani Peguam Negara bertarikh 2 Julai tahun ini dan beliau menerima surat itu pada 11 Julai lepas.

Rayuan itu dijadual untuk pendengaran hari ini dan esok tetapi panel Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Ramly Ali menanggguhkannya dan menetapkan 1 Ogos untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran selepas peguam Ram Karpal Singh memaklumkan mahkamah peguam utama pasukan pembelaan Karpal Singh sedang dirawat di hospital.

Hakim Ramly bersidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Ram Karpal sebelum itu memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan rayuan itu kerana Karpal Singh telah dimasukkan ke wad Ortopedik dan Traumatologi Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau turut menyerahkan kepada mahkamah salinan surat pengesahan Karpal Singh, 73, dimasukkan ke hospital bagi sakit belakang.

Sementara itu, Ram Karpal memaklumkan mahkamah pihak pembelaan membantah pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa tetapi Hakim Ramly meminta beliau mengemukakan perkara itu pada tarikh pendengaran akan datang.

Ram Karpal kemudiannya memberitahu pemberita pihak pembelaan membantah atas alasan ia mungkin tidak sesuai bagi beliau (Muhammad Shafee) mewakili pihak pendakwa kerana kes Anwar bermotifkan politik dan beliau (Muhammad Shafee) pernah dilantik mewakili Umno dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata berikutan keadaan kesihatan Karpal Singh, adalah tidak beretika untuknya membantah permohonan penangguhan itu.

Beliau bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pendengaran secepat mungkin kerana menurutnya beliau telah membaca 25 jilid rekod rayuan dan mahukannya segar dalam ingatannya.

Pihak pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan tahun lepas yang melepaskan dan membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan berlaku penetrasi zakar tetapi tidak disokong bukti lain.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai kewibawaan sampel diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin telah diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Di luar mahkamah, Muhammad Shafee berkata pada ketika ini, pelantikan beliau hanya untuk rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata Peguam Negara melantik beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376 (3) CPC dan secara teknikal beliau di bawah penggajian Peguam Negara secara ad hoc.

"Saya telah dibayar tetapi saya tidak akan dedahkan jumlahnya. Ia amaun yang amat kecil untuk memastikan kontrak ini sah," katanya.

"Pada amnya ia tidak membabitkan konflik kepentingan, ia tidak masuk akal. Ia hanya berupa konflik kepentingan jika diandaikan, saya pernah mewakili Datuk Seri Anwar sebelum ini dalam kes yang ada kaitan dengan kes ini.

Itu sebenarnya baru lah ada konflik kepentingan, sebaliknya tidak wujud konflik kepentingan," katanya.
Muhammad Shafee berkata ini bukan pertama kali peguam persendirian dilantik secara 'fiat', dan menurutnya peguam Tan Hock Chuan pernah dilantik untuk mewakili pihak pendakwa dalam inkues Teoh Beng Hock.

Anwar memberitahu pemberita beliau membantah pelantikan Muhammad Shafee kerana ia jelas prejudis dan boleh menimbulkan fitnah terhadapnya.