NATIONAL
Kes pembakaran terbuka di Kelantan dijangka turun 50 peratus

Farhan Sufyan berkata pihak JBPM Kelantan menerima sebanyak 189 panggilan berkaitan pembakaran terbuka di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. - Bernama
KOTA BHARU: Jumlah panggilan berkaitan kes pembakaran terbuka di Kelantan dijangka mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus tahun ini berbanding 2024.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya menerima sebanyak 189 panggilan berkaitan pembakaran terbuka di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, berbanding 1,897 panggilan sepanjang tahun lepas.
"Penurunan ini mungkin dipengaruhi oleh faktor cuaca. Walaupun cuaca agak panas namun hujan yang turun secara berkala dilihat membantu mengawal aktiviti pembakaran terbuka," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Imigresen Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata setakat ini pembakaran terbuka tidak berada pada tahap membimbangkan malah keadaan cuaca semasa turut tidak menggalakkan peningkatan kes.Katanya 60 peratus panggilan pada tahun lepas melibatkan pembakaran sampah domestik manakala tahun ini trend lebih tertumpu kepada pembakaran lalang.
"Pembakaran lalang ini kebiasaannya dilakukan oleh pekebun atau peladang yang ingin membersihkan kawasan kebun masing-masing. Kami menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa pemantauan dan kawalan," katanya.
Farhan Sufyan turut memaklumkan bahawa sejak 2021, sebanyak 44 kawasan panas (hotspot) dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku pembakaran terbuka di Kelantan dengan daerah Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Pasir Puteh mencatat jumlah tertinggi.
Menurut data Jabatan Alam Sekitar, aktiviti pembakaran terbuka memberi kesan langsung terhadap peningkatan Indeks Pencemaran Udara di samping menjejaskan kesihatan awam serta meningkatkan risiko kebakaran hutan dan kawasan pertanian.
"JBPM Kelantan menasihati orang awam agar segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka menerusi talian kecemasan 999 supaya tindakan pantas dapat diambil," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami