KUALA LUMPUR: Jumlah penagih dan penyalah guna dadah di negeri Terengganu merekodkan penurunan sebanyak 7.2 peratus pada suku pertama tahun 2026 iaitu sebanyak 7,582 orang berbanding 8,174 orang dalam tempoh yang sama pada 2025.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada data itu, golongan dewasa produktif berumur 25 hingga 44 tahun kekal sebagai penyumbang terbesar dengan catatan lebih 68 peratus kes.
Katanya, penurunan kes itu bukan beri isyarat kepada AADK untuk bersenang-lenang, sebaliknya menuntut kewaspadaan berterusan memandangkan musuh tegar seperti dadah jenis ATS dan pil kuda masih mendominasi lebih 80 peratus kes di negeri ini
"Kumpulan umur 35-39 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 1,503 orang (19.8 peratus), diikuti umur 40 hingga 44 tahun seramai 1,449 orang (19.1 peratus), dan umur 25–30 tahun seramai 1,142 orang (15.1 peratus).
"Trend baharu membimbangkan adalah dalam kalangan kanak-kanak. Di sebalik trend penurunan keseluruhan, pihak AADK memberi amaran berhubung peningkatan penglibatan golongan kanak-kanak kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun.
"Data tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 16.7 peratus daripada 6 orang pada suku pertama tahun 2025 kepada 7 orang bagi suku pertama tahun 2026) di peringkat negeri.
"Perkembangan penglibatan kanak-kanak seawal umur 10 tahun ini menuntut pemerkasaan Sekolah Angkat MADANI (SAM) sebagai benteng pertahanan sosial terus dari peringkat sekolah," katanya dalam sidang media di Besut, hari ini.
Turut hadir Pengarah Felda Wilayah Terengganu, Shahruddin Ab Rahman; Guru Besar SK Felda Tenang, Mohd Nasarudin Hussain; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil.
Sementara itu, Ruslin berkata, jenis dadah dominan adalah dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda, dan ekstasi kekal sebagai ancaman paling dominan di Terengganu.
"ATS merangkumi 81.9 peratus (6,206 orang), walaupun merekodkan penurunan 5.0 peratus berbanding 6,536 orang pada suku pertama tahun 2025.
"Opiat seperti heroin dan morfin pula berada di kedudukan kedua dengan 16.9 peratus (1,281 orang), mencatatkan penurunan ketara 18.6 peratus berbanding 1,573 orang pada suku pertama tahun 2025," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ruslin menambah, pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan infrastruktur luar bandar selari dengan usaha menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri Terengganu.
"Program KAM dan SAM ini adalah sebahagian daripada pendekatan whole-of-government melalui Belanjawan MADANI bertujuan merapatkan jurang infrastruktur luar bandar di samping membina benteng sosial yang kukuh.
"Di bawah program KAM dan SAM FELDA Tenang, pelbagai projek pembaikan dan naik taraf prasarana telah dilaksanakan, antaranya fasiliti belia dan sukan; pembinaan dan pembaikan Astaka Padang Bola; baik pulih gelanggang futsal dan sepak takraw, serta penambahbaikan Dewan Nurul Ehsan.
"Selain itu, pemasangan lampu solar di tanah perkuburan bagi jaminan keselamatan dan keselesaan penduduk turut dilaksanakan.
"Kemudahan sekolah pula dibuat melalui pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung, penyelenggaraan pintu pagar sekolah, serta pemasangan penghawa dingin dan sistem siar raya untuk persekitaran pembelajaran yang kondusif," ujarnya.