Sebanyak 11 kes baharu positif COVID-19 direkodkan sehingga jam 12 tengah hari Selasa, meningkat kepada dua angka berbanding satu angka semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, sembilan kes adalah penularan tempatan manakala dua lagi kes import.

"Sehingga 25 Ogos 2020, jam 12 tengah hari, sebanyak 11 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah positif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,285 kes.

"Dua kes import melibatkan seorang warga tempatan dan seorang lagi bukan warganegara.

"Daripada sembilan kes jangkitan tempatan, lima kes daripada Kluster Tawar generasi ketiga di Kedah," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 189 kes dan mereka telah diasing dan diberi rawatan di hospital.

Beliau berkata, sebanyak enam kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 8,971 kes bersamaan 96.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Tambah Dr Noor Hisham, setakat ini lapan pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam pesakit memerlukan bantuan pernafasan.