KUALA LUMPUR:Selepas tiga tahun, sejak Mac 2018 kes berjalan, fokus pastinya tertumpu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, 18 Februari 2021 bagi mengikuti kes pertuduhan rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Esok, mahkamah akan memutuskan sama ada akan memanggil Rosmah untuk membela diri atau membebaskannya dalam pertuduhan kes rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Untuk rekod, beliau berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

BACA: Kes projek solar: Keputusan Rosmah dipanggil bela diri atau bebas diputuskan Khamis ini

Sekiranya mahkamah memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri itu untuk membela diri, beliau mempunyai tiga pilihan untuk respons kepada arahan tersebut.

Memetik laporan Bernama, pilihan pertama yang boleh dilakukan adalah beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Kedua, Rosmah boleh memberikan kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.


Rosmah hadir perbicaraan rasuah projek solar

Ketiga, beliau boleh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Esok, sekiranya Rosmah dibebaskan, ia akan menutup terus episod kes ini yang sudah berlanjutan hampir tiga tahun.

Namun, jika sebaliknya berlaku, kes berkenaan mungkin akan mengambil masa agak lama sebelum menemui titik noktahnya.

Segalanya akan terungkai esok dan Astro AWANI akan membawakan keputusan tersebut secara langsung dari semasa ke semasa melalui semua platform Astro AWANI.


Rosmah minta sumbangan RM187.5 juta daripada Projek Solar Hibrid sekolah

Berikut antara maklumat pendakwaan Rosmah:

Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

BACA: Projek solar: Rosmah kekal pengakuan tidak bersalah

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 Sept 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016.


Kes rasuah Rosmah: Pendakwaan tutup kes, hujahan 10 Feb

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Feb tahun lepas.