PUTRAJAYA: Seorang kontraktor yang berdepan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan air di Selangor sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan perbicaraan kes itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman menolak permohonan R. Nathan selepas memutuskan beliau tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan jaminan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pertuduhan yang dikemukakan terhadap Nathan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan keselamatan di bawah Jadual Pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Suraya berkata jaminan hanya boleh diberikan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA jika pemohon memenuhi syarat yang ditetapkan.

Seksyen 13(1) akta itu memperuntukkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan. Bagaimanapun, Seksyen 13(2) menyatakan pengecualian bahawa jaminan mungkin boleh diberikan kepada tahanan yang berumur bawah 18 tahun, wanita, individu yang sakit atau uzur.

Hakim itu berkata bagaimanapun SOSMA tidak terpakai dalam permohonan jaminan Nathan kerana kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan yang diluluskan menurut Perkara 149 (e) Perlembagaan Persekutuan telah dikecualikan di bawah SOSMA.

Suraya berkata Nathan boleh memohon jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah jika beliau memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Kami mendapati pemohon (Nathan) tidak memenuhi sebarang syarat yang ditetapkan dalam seksyen itu, oleh yang demikian, permohonan beliau ditolak," katanya sambil memaklumkan peguam T. Harpal Singh bahawa Nathan masih boleh memohon jaminan di bawah Kanun Tatatcara Jenayah jika memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Turut bersidang Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk See Mee Chun.

Nathan, 43, dan seorang pengarah syarikat Lim Kian Aik, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan sengaja mensabotaj perkhidmatan air di Taman Velox, Rawang, Gombak antara 2 dan 10 Nov tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Permohonan Nathan untuk mendapatkan jaminan turut ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Mei lepas dan beliau ditahan di penjara Sungai Buloh sejak 10 bulan lepas.

Harpal Singh kemudian memaklumkan pemberita bahawa tarikh perbicaraan bagi kes itu belum ditetapkan.

-- BERNAMA