KUALA LUMPUR: Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, hari ini memohon supaya sebahagian besar pernyataan saksi bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, digugurkan daripada rekod perbicaraan kes saman AS$5.6 bilion yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap tujuh pihak, termasuk Najib.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa sebahagian kandungan pernyataan saksi tersebut tidak wajar diterima sebagai keterangan kerana bersifat dengar cakap selain mengandungi pandangan politik.
Tony, yang pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sepatutnya dipanggil sebagai saksi kedua pihak plaintif pada perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi hari ini.
Muhammad Shafee sebelum itu berhujah bahawa pernyataan saksi berkenaan mengandungi pendapat peribadi serta petikan laporan media yang tidak boleh diterima sebagai bahan bukti di mahkamah.
"Defendan tidak membantah sekiranya kenyataan itu menyentuh penglibatan langsung Tony Pua dalam PAC atau sidang Parlimen. Namun, beliau turut membuat pernyataan yang bersumberkan pihak ketiga," katanya.
Menurut beliau, Tony turut memetik laporan media bagi menyokong keterangannya berhubung peristiwa yang berlaku serta kaitannya dengan suasana politik ketika siasatan terhadap 1MDB sedang giat dijalankan.
Beliau juga menghujahkan bahawa Tony memberikan pandangannya dalam beberapa perenggan yang menyentuh penyingkiran bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, sedangkan beliau tidak mengetahui sebab sebenar pertukaran tersebut.
"Tony Pua sepatutnya bergantung kepada Hansard Parlimen dan laporan PAC, bukannya tafsiran peribadi untuk menyokong keterangannya di mahkamah," katanya.
Sementara itu, peguam Lee Shih memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan masa untuk menyediakan penghujahan bagi menjawab bantahan awal yang dibangkitkan pihak defendan.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus kemudian menetapkan perbicaraan bersambung esok.
Dalam saman itu, 1MDB bersama empat anak syarikatnya menuntut ganti rugi daripada Najib yang juga bekas Perdana Menteri, dan enam pihak lain atas dakwaan penyelewengan yang menyebabkan syarikat pelaburan strategik negara tersebut mengalami kerugian berbilion ringgit.
Plaintif mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib, iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil dan penerimaan amanah konstruktif.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, lalu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM13.5 juta.
Saman berkenaan pada asalnya difailkan pada 7 Mei 2021 oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap 15 defendan, termasuk Najib.
Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang turut dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.
Selain itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman; bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir dan Radhi Mohamad; serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil, turut disenaraikan sebagai defendan.
Bagaimanapun, pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan dalam saman tersebut, iaitu Che Lodin, Ismee, Ong Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi.