KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memohon untuk membatalkan saman ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad yang menuntut pampasan selepas pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan, hampir 23 tahun lepas.

Notis permohonan oleh Dr Mahathir, bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan selaku defendan difailkan Peguam Kanan Persekutuan di Mahkamah Tinggi pada 16 Nov lepas.

"Tuntutan plaintif (Halim) adalah remeh, menyusahkan serta penyalahgunaan proses mahkamah. Semua prosiding terhadap defendan-defendan perlu digantung sehingga keputusan permohonan ini," kata ketiga-tiga defendan dalam notis permohonan itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan dan writ saman difailkan pada 2 Ogos lepas, Halim berkata beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah.

"Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu. Ini mewajibkan saya untuk menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian," katanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Halim mendakwa Khazanah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Justeru, Halim antaranya, memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.

Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan itu menafikan mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

"Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003.

"Lanjutan daripada surat tersebut, plaintif dibayar dengan pampasan berjumlah RM165 juta oleh Khazanah yang dibuat dalam dua bahagian iaitu bayaran pertama sebanyak RM45 juta pada 22 Mei 2003 dan bayaran kedua RM120 juta pada 26 Mei 2003," kata mereka.

-- BERNAMA