Berlaku percanggahan antara keterangan yang diberikan oleh saksi kedua, Azizul Adzani Abdul Ghafar dengan keterangan saksi ke-21, R Uma Devi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pengurus AmBank cawangan Raja Chulan memberitahu mahkamah bahawa beliau menyerahkan butiran spesifik termasuk transaksi bank selepas diminta oleh Azizul, yang merupakan pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) ketika serbuan di bank tersebut pada 6 Julai 2015.

Sebelum ini, Azizul memberitahu bahawa beliau tidak meminta butiran spesifik ketika serbuan sebaliknya Uma Devi yang menyerahkan sendiri kepadanya.

Perkara itu didedahkan ketika soal balas oleh peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Semasa anda disoal (pendakwaan pada minggu lalu) anda tahu apa yang dikatakan Azizul tak sama dengan apa yang kamu kata (sekarang).

Uma Devi: Ya.

Harvinderjit: Azizul beritahu mahkamah beliau hanya memberikan kamu nombor-nombor akaun. Adakah kamu tahu ia tidak benar?

Uma Devi: Ya.

Harvinderjit: Ini dibincangkan dengan (timbalan pendakwa raya) Suhaimi, Sulaiman dan Sithambaram?

Uma Devi: Ia ada disebut.

Harvinderjit: Posisi kamu berbeza?

Uma Devi: Ya.


Minggu lalu, Azizul memberitahu mahkamah dokumen spesifik yang diperoleh ketika serbuan di AmBank antaranya mengesan beberapa transaksi melibat wang berjumlah RM40 juta dan RM5 juta.

BACA: Kes SRC Najib: Dokumen spesifik diserahkan oleh pengurus AmBank - Pegawai BNM

Prosiding berehat seketika dan bersambung semula jam 2.30 petang.