Skip to main content

Malaysia

Kes tembak Komander AKPS: Polis tahan anggota PGA perisikan, dipercayai rapat dengan ahli sindiket

BUKIT KAYU HITAM, 25 Feb -- Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini awal pagi tadi.  Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dalam kejadian 25 Feb lalu, kenderaanyang dinaiki Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali. - Gambar fail/Bernama

SUNGAI PETANI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 5 Mac oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum direman selama tujuh hari.

Advertisement

Menurutnya, anggota tersebut sudah dua tahun bertugas di sempadan sebagai perisik dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis ketamin.

“Penahanan ini dibuat bukan kerana kes dadah, sebaliknya untuk membantu siasatan kes tembakan terhadap komander AKPS,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini pada Khamis.

Jelas Adzli, siasatan awal mendapati anggota terbabit mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.
Menurutnya, anggota tersebut dilaporkan berada di lokasi kejadian bersama sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum tembakan berlaku.

“Maklumat menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan pernah bersama-sama menghisap dadah. Kita tidak akan berkompromi dengan perkara sebegini,” ujarnya.

Beliau berkata, anggota terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.
Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek terus memberi kerjasama sepanjang siasatan.

Adzli menegaskan kes ini sangat serius kerana melibatkan cubaan tembakan terhadap pegawai penguat kuasa dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh tanpa mengira siapa yang terlibat.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan pegawai pemerintah anggota berkenaan sama ada untuk menahannya daripada bertugas atau sebaliknya bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

“Suspek ini antara 11 individu yang ditahan setakat ini. Polis merayu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi, kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali. Mangsa bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan. -- Sinar Harian

Must Watch Video