KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga emas disyaki terlibat dalam insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Taman Kota Jaya, di sini, semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini.
Advertisement
Tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9 pagi dengan tangan bergari dan diiringi polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing maut akibat ditembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu kesemua mangsa berusia 37 hingga 63 tahun dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun.
-- BERNAMA