Skip to main content

Malaysia

Kes tikam pelajar: Pasukan pembelaan remaja lelaki tutup kes selepas saksi beri keterangan

SHAH ALAM – Perbicaraan kes bela diri seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, selesai di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Peguam Kitson Foong berkata pihak pembelaan yang mewakili tertuduh memaklumkan prosiding bela diri telah selesai selepas dua saksi termasuk remaja terbabit turut memberi keterangan. -Foto Sinar Harian
Advertisement

SHAH ALAM: Pasukan pembelaan membabitkan kes remaja lelaki berusia 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas menutup kes selepas saksi-saksi kes itu selesai memberi keterangan hari ini.

Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan balas pada 3 Sept ini manakala 8 Sept untuk hujahan lisan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam Kitson Foong berkata pihak pembelaan yang mewakili tertuduh memaklumkan prosiding bela diri telah selesai selepas dua saksi termasuk remaja terbabit turut memberi keterangan.

"Selain remaja terbabit, seorang lagi saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony," katanya.

Remaja itu didakwa membunuh mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun di dalam bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Okt 2025.  

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, namun tertuduh juvana tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.

Memandangkan tertuduh masih di bawah umur, identiti remaja itu tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya, manakala keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup.

Pada 12 Feb lepas, remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.

Pada 30 Jan lepas, pihak pendakwaan memperoleh keizinan Jabatan Peguam Negara selaras Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan selepas laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan.

Pada 22 Okt 2025, remaja terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sekiranya didapati bersalah, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah di bawah umur 18 tahun.

Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri mengikut Seksyen 97(2) akta yang sama.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement