Skip to main content

Malaysia

Kes tikam pelajar: Pembelaan sedia jika remaja diperintah membela diri

[TB]_Kes tikam, Pelajar bunuh, Bela diri_Astro Awani
Kitson berkata, ketika ini pihaknya hanya menunggu keputusan mahkamah sebelum menentukan langkah seterusnya dalam perbicaraan. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Pihak pembelaan bersedia untuk meneruskan prosiding sekiranya Mahkamah Tinggi memutuskan supaya remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan 15 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya Oktober tahun lalu diperintah membela diri.

Peguam mewakili tertuduh, Kitson Foong berkata, ketika ini pihaknya hanya menunggu keputusan mahkamah sebelum menentukan langkah seterusnya dalam perbicaraan.

Beliau berkata, segala persiapan bagi peringkat pembelaan telah dibuat sekiranya mahkamah memutuskan demikian.

“Selepas keputusan dibuat, jika kami dipanggil, barulah kami akan mulakan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihak pembelaan mengambil pendekatan yang realistik terhadap keputusan yang bakal diumumkan oleh mahkamah.

“Anak guam saya sedang menunggu keputusan terlebih dahulu. Tetapi sebagai seorang realis, kami menganggap bahawa pembelaan akan dipanggil,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penilaiannya, terdapat kemungkinan besar mahkamah akan memerintahkan tertuduh membela diri dan bukannya membebaskannya pada peringkat itu.

“Saya tidak akan mengatakan bahawa dia akan dibebaskan tanpa pembelaan. Pada pendapat saya, kemungkinan besar pembelaan akan dipanggil,” katanya lagi.

Sekiranya diperintah membela diri, beliau berkata, pihak pembelaan telah merancang susunan saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Pembelaan akan turut dipanggil seorang lagi saksi, Dr Ian Lloyd,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini akan memutuskan sama ada seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama perlu membela diri atas pertuduhan itu atau dibebaskan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement