Siasatan berhubung kes rakaman video yang tular mengenai seorang wanita yang mendakwa polis tidak membenarkannya masuk ke balai polis Alam Damai Cheras selepas diekori sebuah kereta lain, Isnin lalu, telah selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan mengenai insiden berkenaan telah dilengkapkan dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita sudah menahan tiga remaja lelaki berusia 18 tahun berkenaan yang didakwa terlibat dalam video tersebut dan kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Mungkin berlaku salah faham dalam insiden tersebut kerana ada dakwaan wanita tersebut yang berasas dan ada juga dakwaannya yang kurang tepat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata polis perlu berhati-hati dan bersiap sedia serta memastikan kawalan ketat di setiap balai bolis berikutan wujudnya ancaman pengganas yang merancang melakukan serangan terhadap pasukan polis.

"Kita sedia maklum banyak percubaan penganas untuk melakukan serangan bukan sahaja di balai-balai tetapi di Bukit Aman sendiri.... di sebabkan itu, kita telah mempertingkatkan kawalan keselamatan di semua formasi termasuk balai polis dengan pengawalnya perlu menjalankan pemeriksaan yang ketat terutamanya pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata balai polis sentiasa dibuka kepada orang awam terutama melibatkan kecemasan seperti laporan atau aduan dan pihaknya tidak akan sesekali menafikan hak masyarakat.

"Sebarang kritikan terhadap tugas polis akan diterima secara positif dan dalam hal insiden ini, tiada pihak yang perlu dipersalahkan," katanya.

Dalam kejadian Isnin itu, seorang wanita merakam video berdurasi enam minit 28 saat mendakwa polis melarangnya masuk ke balai polis itu selepas diekori sebuah kereta lain yang dinaiki tiga lelaki.

-- BERNAMA